Sabah Issues : Ahli-ahli UMNO dipengaruhi menyertai Gerakan



TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh kesal di atas tindakan ‘pihak-pihak tertentu’ yang cuba mempengaruhi ahli-ahli Umno di kawasannya untuk menyertai Parti Gerakan.

Katanya, pihak-pihak tersebut menggunakan taktik meminta ahli-ahli Umno terlibat menyertai parti pembangkang DAP, sebelum kemudiannya keluar dari parti itu dan mendaftar sebagai ahli Gerakan.

Jelasnya, perkara itu dikesan pihaknya sejak beberapa bulan lalu dan situasi itu disifatkannya sebagai satu perkara yang serius.

“Saya sudah pun suarakan perkara ini kepada Perhubungan Umno Negeri kerana ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan boleh menjejaskan Umno,” katanya yang juga selaku Ketua Umno Kalabakan.

Ditanya sama ada hal itu dilakukan oleh komponen terbabit, Ghapur menjawab, “mungkin.. itu kita tidak boleh cakap”.

Selain tentang hal itu, Ghapur juga kesal di atas tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menyebar surat layang di kawasannya sambil memperkecil-kecilkan usaha Umno dan BN.

“Ini semua mungkin dilakukan oleh orang-orang yang bercita-cita menjadi calon pada pilihan raya akan datang. Saya minta mereka hentikan semua perkara ini.”

“Kalau mahu menjadi calon, mereka sepatutnya bersama-sama Umno dan BN berjuang dan bekerja keras demi membela nasib rakyat !,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok Umno Zon Merotai, di Merotai Besar di sini.

Ketika berucap, Ghapur juga meminta masyarakat dan ahli Umno supaya tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah terbabit tetapi menilai sendiri segala nikmat yang dibawa kerajaan untuk mereka.

Sebagai contoh katanya, kini majoriti rakyat di Bahagian Kalabakan sudahpun menikmati kemudahan jalan raya serta bekalan air dan elektrik, selain rumah-rumah daif penduduk turut diperbaiki.

Begitu juga ujarnya dari aspek peningkatan ekonomi dan pendidikan, pelbagai pendekatan terus diambil oleh kerajaan bagi memastikan kehidupan rakyat dapat terus bertambah-baik.

Menyentuh isu berlainan, Ghapur meminta kerajaan supaya membina rangkaian jalan raya dua hala di negeri ini seperti mana yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Perkara itu juga ujarnya sudah disuarakannya di Dewan Rakyat sebelum ini dan beliau berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya.

Hadir sama di majlis itu ialah Timbalan Ketua Umno Kalabakan yang juga Wakil Rakyat Sebatik, Abdul Muis Picho, Wakil Rakyat Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat, Wakil Rakyat Merotai Pang Yuk Ming.

Source : New Sabah Times 

0 comments:

Post a Comment

Please use appropriate word

 

Aki Sabah. Template by My Template Mint ™ Blogging © 2013-2015