Aduan Rakyat : Jalan raya ke Kampung Pinawantai dan Kampung Parapat rosak


Seorang guru dari Kudat meminta agar Jabatan Kerja Raya untuk segera membaik pulih beberapa kerosakan yang terdapat di sepanjang Jalan Garau yang terletak di daerah tersebut.

Pengadu yang merupakan salah seorang pendidik di SK Garau menjelaskan bahawa terdapat sejumlah 7 kerosakan di sepanjang jalan tersebut yang mana merupakan satu-satunya jalan perhubungan kepada penduduk Kampung Pinawantai dan Kampung Parapat.

“Bagaimanapun, keadaan jalan tersebut bukan sahaja menjejaskan penduduk kampung tetapi turut menjejaskan beberapa orang guru yang mengajar di SK Garau di mana sekolah tersebut turut terletak di jalan yang dimaksudkan. Keadaan ini agak membebankan kami yang tinggal di luar kampung berkenaan untuk datang bekerja disebabkan keadaan jalan tersebut,” katanya sambil menambah bahawa jalan tersebut hampir tidak dapat dilalui oleh kenderaan bersaiz kecil.

“Saya sudah pun menulis surat kepada jurutera yang bertugas di Jabatan kerja Raya sebulan lepas namun masih belum ada sebarang jawapan dan tindakan sehingga hari ini,” katanya.

“Saya berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera. Keadaan jalan tersebut menjadi teruk dari hari ke hari dan saya percaya jika tiada tindakan yang diambil, ia akan memberi kesan kepada kerja kami sebagai guru. Bagaimana jika jalan tersebut tidak dapat dilalui kelak? sudah tentu ada guru yang tidak datang ke sekolah untuk mengajar murid-murid mereka,” tambah pengadu.
Pegawai dari Jabatan Kerja Raya Kudat memaklumkan ActionLine bahawa mereka terpaksa bergantung dengan keadaan cuaca bagi membaiki kerosakan tersebut.

“Di Kudat, musim hujan masih belum lagi berakhir. Oleh itu, jika kami membaiki jalan itu sekarang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan jalan tersebut apabila hujan turun,” katanya, sambil menambah kerja-kerja pembaikan akan dilakukan segera sebaik sahaja musim hujan berlalu.

Source : New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Please use appropriate word

 

Aki Sabah. Template by My Template Mint ™ Blogging © 2013-2015