Aduan Rakyat : Tanah penduduk Kg. Lubang Buaya diceroboh syarikat swasta



BELURAN: Penduduk di Kampung Lubang Buaya di sini kesal dengan tindakan sebuah Syarikat swasta yang menceroboh masuk dan membersihkan kawasan tanah pusaka di kampung itu yang berkeluasan kira-kira 121 hektar.

Ketua Kampung Lubang Buaya, Oruk Abi berkata, syarikat tersebut masuk secara suka hati dan menebang beberapa batang pokok di kawasan tanah pusaka milik penduduk kampung tanpa memberi sebarang notis mahupun surat pengesahan.



Katanya, penduduk di kawasan terbabit kesal dan hairan bagaimana syarikat swasta tersebut menceroboh ke kawasan tanah itu tanpa memaklumkan kepada penduduk kampung.

“Kami hairan bagaimana syarikat swasta itu boleh menceroboh ke kawasan tersebut memandangkan ia adalah tanah pusaka kampung.

“Terdapat seramai 360 penduduk di kampung ini yang wujud sejak 40 tahun lepas dan ada di antara mereka bercucuk tanam di tanah pusaka ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lubang Buaya, Nicholas Jenor berkata, syarikat yang sama pernah cuba menceroboh masuk ke tanah pusaka terbabit pada bulan lepas, namun berjaya dihalang penduduk kampung.

Katanya, penduduk menyedari syarikat yang sama menceroboh semula ke tanah pusaka itu pada minggu lepas dan mereka bertindak menebang beberapa batang pokok.

Beliau memberitahu, penduduk telahpun membuat laporan polis mengenai pencerobohan itu di Balai Polis Kampung Sungai-Sungai selain mengemukakan masalah itu kepada Pejabat Parlimen Beluran.

Nicholas turut meminta pihak berkaitan terutama Pejabat Daerah Beluran agar dapat mengambil perhatian ke atas masalah itu agar hak penduduk kampung di tanah pusaka itu tidak dicerobohi oleh syarikat swasta yang disifatkannya hanya inginkan keuntungan.

0 comments:

Post a Comment

Please use appropriate word

 

Aki Sabah. Template by My Template Mint ™ Blogging © 2013-2015