PGM Tawau tahan warga asing cuba masuki Sabah secara haram



TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) berjaya menggagalkan cubaan dua remaja asing berusia 17 dan 16 tahun untuk membawa masuk secara haram 17 warga Indonesia ke negara ini, Jumaat lalu.


Kejayaan itu diperolehi apabila perahu jongkong yang dinaiki oleh kesemua mereka ditahan oleh PGM ketika cuba mendarat di kawasan Sungai Serudung, dekat sini pada kira-kira jam 8.20 malam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PGM Tawau, ASP Mohamad Ismail berkata, siasatan menunjukkan bahawa kedua-dua remaja terlibat telah bertindak sebagai juragan dan anak perahu.

Kedua-dua mereka katanya tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, begitu juga dengan kesemua penumpang perahu yang dipercayai dibawa masuk dari Nunukan, Indonesia.

“Kita percaya kegiatan ini dijalankan oleh pihak sindiket dan kita sedang menjalankan siasatan rapi bagi mengenal-pasti dalang yang sebenar,” katanya.

Berdasarkan kes-kes lalu ujarnya, pihaknya percaya bahawa setiap PATI terlibat membayar di antara RM250 hingga RM350 kepada pihak sindiket, bagi setiap perjalanan yang diuruskan mereka.

Menyentuh tangkapan terbaru itu, Mohamad memberitahu bahawa 14 daripada 17 penumpang yang ditangkap adalah lelaki manakala tiga orang selebihnya adalah perempuan.

Mereka katanya berusia di antara 13 dan 47 tahun.

“Remaja berusia 17 tahun yang bertindak sebagai juragan perahu itu kita tahan mengikut Seksyen 55 (1), Akta Imigresen kerana menjadi tekong laut.”

“Tahanan yang lain pula kita siasat mengikut Seksyen 6 (1) (C), akta yang sama,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Mohamad memberitahu bahawa pihaknya turut merampas perahu dan enjin bernilai RM21,000 yang digunakan oleh kesemua suspek untuk menceroboh masuk ke negara ini.

Source : New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Please use appropriate word

 

Aki Sabah. Template by My Template Mint ™ Blogging © 2013-2015